PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah enggan terbuai-buai kemenangan besar ke atas Kelantan FC kerana berbaki empat hari menjelang perlawanan lebih getir di Stadium Sultan Ibrahim bertemu Johor Darul Ta’zim pada aksi separuh akhir kedua, Khamis ini.
Semalam, The Bos Gaurus tampil penuh berdisiplin membelasah pasukan tercorot dari pantai timur itu, 8-0 di Stadium Perak, Ipoh.
“Tiga lawan kita nanti (Selangor, Sabah dan Terengganu) di Liga Super adalah pasukan yang lebih kuat. Apa yang kita rancangkan untuk cuba melayani semua pasukan dengan menerapkan permainan dan gaya yang sama supaya pemain tahu, kita plan untuk musim depan sebenarnya.
“Baki perlawanan ini sebaiknya pemain menggunakan kesempatan, tidak boleh mencuba lagi kerana tiga aksi terakhir ini kita inginkan mata walaupun sedar sukar meraihnya ketika berdepan pasukan yang kami tempuhi.
“Walau bagaimanapun, saya masih optimis pemain mampu melonjak asalkan berada dalam kondisi terbaik setiap perlawanan,” katanya memuji komitmen pemain sepanjang 90 minit beraksi di laman sendiri.
Pada pertembungan itu, tumpuan terarah kepada penyerang import dari Serbia Luka Milunovic yang mencipta hatrik pada separuh masa pertama dan seorang lagi pemain import dari Korea Selatan Seo Seonung, selepas meledak dua gol.
Bekas pemain kebangsaan Wan Zack Haikal Wan Nor, Shivan Pillay Asokan dan ketua pasukan Luciano Guaycochea, masing-masing menyumbangkan satu gol untuk membantu tuan rumah melakar kemenangan kedua berturut-turut dan memanjat ke tangga kesembilan.

Bagi Kelantan, ini bukanlah kekalahan terburuk musim ini kerana mereka pernah dibelasah 8-0 oleh Terengganu FC , Johor Darul Ta’zim (0-10) Selangor FC (2-11)