MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyeru pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk segera menyertai inisiatif Road to Gold (RTG) demi memastikan kariernya kekal konsisten menerusi sokongan penuh kerajaan menjelang temasya Olimpik Los Angeles 2028.

Hannah yang hadir di Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin di Kota Damansara berkata, Zii Jia akan mendapat kelebihan besar melalui RTG termasuk sokongan pemulihan, kemudahan latihan, dan perkhidmatan sains sukan.

“Kami sudah terangkan kepada Zii Jia bahawa tiada apa yang perlu dirugikan. RTG ini adalah kemudahan tambahan, termasuk untuk pemain profesional bebas,” ujarnya.

Beliau yang sempat bertemu bekas beregu nombor satu dunia, Chan Chong Ming berkongsi soal kepentingan pemain untuk kekal bersama persatuan seperti BAM, kerana memiliki pelbagai fasiliti termasuk rakan sparing dan struktur kejurulatihan mantap.

“Jika anda bersama BAM, segala keperluan seperti jurulatih bertaraf dunia dan kemudahan RTG disediakan sepenuhnya,” jelasnya.

Beliau mengambil contoh pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kini menunjukkan peningkatan prestasi ketara selepas kekal bersama BAM dan menerima manfaat daripada RTG.

“Tiga kejuaraan dalam beberapa bulan kebelakangan ini bukti mereka kini lebih konsisten, lebih mantap,” katanya lagi.

Zii Jia, yang kini beraksi sebagai pemain profesional, belum menandatangani penyertaan rasmi dalam program RTG. Hannah memberitahu, beliau sudah berjumpa Zii Jia minggu lalu dan menaruh harapan agar pemain terbabit akan membuat keputusan terbaik dan tepat.