JAGUH lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli tidak mahu mengulangi insiden buruk yang dialaminya di Sukan Paralimpik Tokyo tiga tahun lalu.
Penyertaan Ziyad di Tokyo 2020 dibatalkan kerana lewat melaporkan diri di bilik menunggu sebelum acara berlangsung.
“Sebelum ini, sudah macam-macam perkara berlaku. Saya sudah menghadapi pelbagai dugaan dan latihan yang agak berat untuk sampai ke Paris.
“Semestinya apabila saya sudah memenangi kejohanan dunia (Kejohanan Dunia Para Olahraga Kobe 2024), itu adalah satu titik pembakar semangat untuk saya.
“Semangat itu yang saya ingin bawa ke Paris nanti, Insya Allah saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui media pada Isnin.
Menurut jurulatih lontar peluru negara, Faizol Harun berkata bahawa Ziyad kini berada di fasa akhir persiapan dan beliau yakin 100 peratus bahawa Ziyad sudah bersedia untuk Paris 2024.

Jurulatih lontar peluru negara, Faizol Harun
“Saya dah lama kenal Ziyad dan saya tahu dia macam mana. Saya amat yakin bahawa Ziyad sudah bersedia Sukan Paralimpik Paris nanti.
“Kita akan bawa semangat Kobe terus ke Paris. Saya harap dia akan buat yang lebih baik lagi dan cuba untuk pecah rekod dunia lagi,” jelasnya.
Ziyad bakal membuat penampilan keempatnya dalam Sukan Paralimpik selepas edisi London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020, dengan misinya kali ini untuk membaiki kesilapan edisi lalu dengan sasaran melakukan lontaran sejauh 18 meter.