FINAL Piala FA 2024-2025 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC, diharap menjadi platform terbaik mengukuhkan hubungan erat antara penyokong kedua-dua pasukan.
Harapan itu disuarakan bekas pemain Johor era 90an, Rizal Sukiman yang melihat pertembungan dua pasukan gergasi ini, sebagai perlawanan tumpuan puluhan ribu penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini (24 Ogos).
Ironinya, perlawanan akhir itu juga amat hampir dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang bakal tiba pada 31 Ogos ini, sudah tentu apa yang diinginkan adalah untuk menyaksikan keharmonian dan perpaduan yang utuh dapat ditonjolkan oleh seluruh rakyat Malaysia pada hari perlawanan itu nanti.
Justeru, beliau menjangkakan inilah masanya untuk melihat bagaimana sukan bola sepak akan menyuntik semangat harmoni dalam kalangan penyokong bagi membuktikan perlawanan sebegini sebenarnya mampu membentuk hubungan positif dan progresif seiring dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “Jiwa Merdeka”.
Meskipun perlawanan final itu dilihat sebagai pertembungan hangat antara JDT dan Selangor, tetapi bekas pemain yang pernah memenangi Piala FA pada tahun 1998 bersama Johor ini mengharapkan agar tiada provokasi yang tidak sepatutnya berlaku selain semua penyokong perlu lebih bersikap matang agar dapat menikmati perlawanan ini dengan harmoni.
“Final ini bagi saya adalah perlawanan yang wajib ditonton seluruh peminat sebab menemukan dua pasukan terbaik pada waktu ini.
“Yang penting kena profesional baik atas padang atau luar padang. Penyokong mesti la akan sokong pasukan kesayangan mereka, tetapi tetap semuanya kena ada batas.
“Bila dah habis perlawanan, wisel penamat dah ditiupkan, kalah menang semuanya kita dah saksikan atas padang, jadi tak perlu dah nak sambung lawan di luar padang, cukup 90 minit dalam perlawanan sahaja.
“Jadikanlah aksi final ini satu tempat untuk kita mengharmonikan hubungan masing-masing sebab kadang-kadang mestilah akan ada yang suka buat provokasi.
“Jadi, setiap penyokong haruslah bijak dan berlapang dada apabila menyokong pasukan masing-masing”, katanya.
Sementara itu, bekas pemain yang pernah menjuarai Piala FA pada 2009 bersama Selangor, iaitu Mohd Nasriq Baharom turut senada apabila memberi bayangan pertembungan final ini akan menjadi satu perlawanan epik antara kedua-dua pasukan.
Justeru, beliau percaya selain aura positif yang diinginkan daripada kalangan penyokong, sudah tentu pertempuran JDT dan Selangor di atas padang juga akan menjadi sajian luar biasa kepada seluruh peminat bagi menyaksikan pasukan manakah akan merangkul trofi Piala FA musim ini.
“Saya rasa pasukan Selangor salah satu pasukan yang mampu memberi saingan sengit untuk pasukan JDT. Buat masa sekarang, kita tidak nafikan memang pasukan JDT pasukan nombor satu tapi saya rasa Selangor ialah salah satu pasukan yang boleh mencabar pasukan JDT.”
“Saya rasa enjin pasukan Selangor sekarang ialah Orozco dan pemain kanan, Alvin Fortes dan pemain tempatan seperti Harith Haiqal bermain di posisi pertahanan tengah, mereka inilah yang perlu diberi perhatian oleh pasukan JDT.
“Harapan saya, Piala FA ini mungkin dah lama pasukan Selangor tak mencapai kejayaan dan JDT selaku juara bertahan sudah pasti tidak akan memberi laluan mudah. Jadi, saya rasa ini adalah perlawanan yang menarik untuk kita semua dan yang turut dinanti-nantikan oleh ramai peminat,” katanya.