Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus memperkukuhkan komitmennya dalam penyiaran sukan apabila diumumkan sebagai penyiar rasmi Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.

Selepas kejayaan membawakan liputan langsung Piala Dunia FIFA 2026, RTM sekali lagi tampil memberikan liputan menyeluruh aksi atlet negara menerusi saluran Sukan+ di platform MYTV 111, RTMKlik serta saluran Sukan+ di Astro 806.

Sepanjang temasya berlangsung, RTM menyediakan hampir 100 jam siaran yang merangkumi upacara pembukaan, pertandingan harian serta majlis penutup bagi memastikan rakyat Malaysia tidak terlepas mengikuti perkembangan kontinjen negara di Glasgow.

Liputan harian akan disiarkan menerusi dua sesi siaran langsung iaitu sesi petang bermula 24 Julai hingga 2 Ogos dari pukul 6.00 petang hingga 9.00 malam, manakala sesi awal pagi berlangsung dari 25 Julai hingga 2 Ogos, bermula pukul 1.00 pagi hingga 4.00 pagi.

Selain itu, RTM turut menyediakan slot sorotan harian selama sejam bermula 25 Julai hingga 3 Ogos, dari pukul 2.00 hingga 3.00 petang.

Upacara pembukaan pada 24 Julai dari pukul 2.30 hingga 5.30 pagi bakal disiarkan secara langsung menerusi platform RTM dengan gandingan tiga hos berpengalaman iaitu Zachki Ahmad Suri, Nik Syafiq Hadhari dan Nazrie Fahmie yang akan mengendalikan segmen Grandstand.

Sementara itu, Grandstand bagi upacara penutup pada 3 Ogos turut disiarkan pada waktu sama dengan Jeed Zulkefli, Ninie Ibrahim dan Iffah Hazim diberi tanggungjawab mengemudi siaran penutup temasya.

Pada edisi kali ini, Malaysia menghantar 59 atlet yang terdiri daripada 37 atlet able dan 22 atlet para di bawah pimpinan Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Awalan Abdul Aziz.

Kontinjen negara akan beraksi dalam 64 acara membabitkan lapan jenis sukan daripada keseluruhan 10 sukan yang dipertandingkan, termasuk angkat berat dan powerlifting, renang dan para renang, berbasikal trek dan para berbasikal trek, bola keranjang 3×3 serta bola keranjang kerusi roda 3×3, gimnastik artistik, judo, boling padang dan para boling padang serta olahraga dan para olahraga.

Malaysia meletakkan sasaran membawa pulang lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa, berdasarkan prestasi semasa atlet yang bakal membawa cabaran negara di pentas Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Liputan temasya ini meneruskan usaha RTM dalam menyediakan kandungan sukan berkualiti kepada rakyat Malaysia, sekali gus memastikan peminat sukan tanah air dapat mengikuti perjuangan atlet negara sepanjang berlangsungnya Sukan Komanwel di Scotland.