Seramai 23 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat fasa pertama skuad Harimau Malaya B-19 kendalian Shukor Adan sebagai persiapan menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia B-20 2027 di Vientiane, Laos.

Kem latihan berkenaan bermula hari ini, 12 Ogos, hingga 23 Ogos sebelum skuad negara meneruskan persiapan ke fasa kedua selepas tamat temasya SUKMA 2026, dari 24 hingga 28 Ogos.

Shukor dijadualkan memuktamadkan senarai akhir 23 pemain yang akan dibawa ke Vientiane pada 29 Ogos. Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama Indonesia, Australia dan tuan rumah Laos.

Daripada senarai awal yang diumumkan, lapan pemain datang daripada Johor Darul Ta’zim IV, iaitu Muhammad Amar Imran Uzaini Ashadi, Aisy Aqasha Noorazhar, Haziq Aziz Ahyok Abdul Qayyum, Muhammad Ilhaam Azani Mohd Azamin, Tengku Hasyri Shah Meerza Tengku Hazman, Muhammad Naqif Firhad Mohd Shafarin, Adam Hakimi Mohd Zaki dan Mohamad Fadhlul Hadi Zulkarnain.

Sementara itu, Selangor FC turut menyumbangkan lapan pemain menerusi Muhammad Helmi Ismail, Wan Raif Muqriz Shamsul Amri, Muhammad Airel Husainy Yusoff, Syazril Izwan Shairunizam, Ahmad Zidan Ahmad Fazly, Muhammad Awal Wafiy Ahmad Syukri, Muhammad Adib Rashidi dan Muhammad Faizi Hafiz Hishamuddin.

Enam pemain pula mewakili Akademi Mokhtar Dahari (AMD), iaitu Adrian Muslim Sufian, Arfan Haziq Ahmad Marzuki, Mohamad Iman Danish Mohd Shukor, Muhammad Aufa Bazli Mohd Razif, Muhammad Iman Irfan Muhammad Hapis dan Muhammad Syazani Yussairi Yusnazairi, manakala Kaveen A/L Shanmugesh Waran dipanggil daripada Visela FC.

Bagi kempen kelayakan di Laos, Malaysia akan memulakan cabaran menentang Indonesia pada 31 Ogos sebelum bertemu Australia pada 3 September. Aksi terakhir kumpulan menyaksikan skuad negara berdepan tuan rumah Laos pada 6 September, dengan kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Lao KM16, Vientiane.

Skuad B-19 negara turut diperkuat barisan kejurulatihan yang diketuai Shukor bersama Lee Jeyoon sebagai penolong ketua jurulatih, Yong Wai Hwang sebagai jurulatih penjaga gol, Reuben Jude Balraj selaku jurulatih kecergasan dan Haru Chung sebagai juruanalisis. Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee, pula akan bertindak sebagai pengurus pasukan.

Mengikut format kelayakan, juara setiap kumpulan bersama tujuh naib juara terbaik serta tuan rumah China akan layak ke Piala Asia B-20 2027 yang dijadualkan berlangsung pada Mac tahun depan. Justeru, kem latihan fasa pertama ini menjadi medan penting buat Shukor menilai kemampuan pemain sebelum senarai akhir dibentuk bagi membawa cabaran negara di Vientiane.