Peminat bola sepak tempatan bakal disajikan pertembungan penuh nostalgia apabila barisan legenda Liga Perdana Inggeris dan bintang bola sepak dunia dijadualkan beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Oktober ini.

Acara AllStar Legends Football Match anjuran AllStar Sports Sdn. Bhd. dengan kerjasama World Football Legends (WFL) itu akan mempertemukan AllStar Premier League Legends menentang AllStar World Legends.

Antara nama besar yang telah mengesahkan penyertaan ialah legenda Liverpool, Steven Gerrard, pemenang Ballon d’Or, Michael Owen, serta legenda Manchester United, Ryan Giggs.

Turut menyertai barisan AllStar Premier League Legends ialah bekas bintang Chelsea dan Barcelona, Eidur Gudjohnsen, serta bekas pertahanan Liverpool, John Arne Riise.

Sementara itu, pasukan AllStar World Legends menampilkan barisan bintang antarabangsa termasuk juara Piala Dunia FIFA, Alessandro Del Piero dan Dida, selain bekas pemain Manchester United Jaap Stam, bekas penyerang Real Madrid Fernando Morientes serta pemenang pingat emas Olimpik bersama Argentina, Javier Saviola.

Pertembungan berkenaan bukan sekadar aksi persahabatan, sebaliknya menjadi peluang buat peminat tempatan menyaksikan semula pemain-pemain yang pernah mencipta sejarah di pentas bola sepak tertinggi dunia beraksi dalam satu gelanggang.

Bagi peminat yang mahu hadir, tiket ditawarkan dalam beberapa kategori bermula RM62 hingga RM1,998. Kategori VIP pada harga RM1,998 turut menyediakan akses premium termasuk sesi meet-and-greet serta autograf bersama legenda terpilih, manakala kategori lain merangkumi Grand Stand (RM399), Kategori 1 (RM209), Kategori 2 (RM168), Kategori 3 (RM98) dan Zone MADANI (RM62).

Turut ditawarkan ialah promosi High5 Bundle dengan diskaun 20 peratus bagi pembelian lima tiket, tertakluk kepada terma dan kuantiti yang ditetapkan.

Mengangkat tema “Rise Above All”, penganjur menyasarkan acara berkenaan sebagai medan menghimpunkan peminat daripada pelbagai generasi dan latar belakang untuk meraikan minat terhadap bola sepak serta mengimbau detik-detik ikonik yang pernah dicetuskan para legenda tersebut.

AllStar Legends Football Match turut mendapat sokongan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dengan beberapa rakan korporat dan media terlibat dalam menjayakan penganjuran acara berkenaan. Penganjur turut memaklumkan bahawa pengumuman pemain tambahan, jadual acara serta aktiviti pada hari perlawanan akan dibuat dalam beberapa minggu akan datang.