Selangor menerima kira-kira 30,000 permohonan sukarelawan bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang dijadual berlangsung pada Ogos ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan majoriti permohonan datang daripada golongan anak muda yang mahu menjadi sebahagian daripada temasya dwi tahunan itu.

Menurut beliau, pada peringkat awal penganjur hanya menyasarkan kira-kira 5,000 sukarelawan, namun jumlah permohonan yang diterima jauh melebihi jangkaan.

“Penyertaan bagi sukarelawan sangat memberangsangkan yang mana pada peringkat awal kita jangka untuk dapatkan sekitar 5,000 orang.

“Sekarang sudah 30,000 (permohonan) anak-anak muda yang mahu jadi sukarelawan… kita akan cuba ambil seramai mungkin supaya acara itu dapat berlangsung dengan lebih baik, teratur dengan bantuan mereka.

“Saya teruja dengan permohonan berlipat kali ganda dan saya minta maaf mungkin tak semua boleh kita libatkan… tapi kita cuba (libatkan) semaksima mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Aktivis Muda dan Pemimpin Mahasiswa Selangor.

Mengulas mengenai perkembangan persiapan penganjuran temasya itu, Amirudin memaklumkan tahap kesiapsiagaan setakat ini telah mencapai kira-kira 80 peratus dan berjalan mengikut perancangan.

Beliau berkata antara projek utama yang masih dalam proses ialah kerja naik taraf Pusat Akuatik Darul Ehsan yang kini berada pada tahap sekitar 40 peratus siap.

“Pusat akuatik antara lokasi SUKMA yang kita buat ‘major renovation’ dan akan disiapkan ikut jadual yang ditetapkan. Kita letakkan sasaran persiapan lokasi selesai pada Jun iaitu dua bulan sebelum berlangsungnya temasya.

“Saya harap pasukan kita juga bersiap sedia walaupun bulan Ramadan untuk memastikan kita memberikan impak yang sangat baik dalam penganjuran kali ini selepas 28 tahun kita tidak menjadi tuan rumah,” katanya.

Sementara itu, Selangor turut meletakkan sasaran 80 pingat emas pada edisi kali ini dengan keyakinan atlet negeri itu mampu mendominasi beberapa sukan utama termasuk olahraga dan renang.

Pada majlis sama, Amirudin turut menyampaikan insentif kepada atlet Selangor yang menyumbang pingat untuk negara pada Sukan SEA 2025 dan Sukan Para ASEAN 2025 dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM319,400.

Menurutnya, kadar insentif tersebut kini diseragamkan antara atlet Sukan SEA dan atlet Para ASEAN sebagai penghargaan terhadap pencapaian mereka di pentas antarabangsa.