Isu penggunaan dokumen tidak sah membabitkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak, namun usaha memajukan bola sepak negara tidak boleh terhenti begitu sahaja.
Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah melalui proses perundangan yang sewajarnya dan pihaknya menerima keputusan tersebut.
“Proses undang-undang itu telah pun berjalan dan kita menerima keputusan yang telah pun diputuskan… kita akan meneliti apakah langkah susulan yang perlu kita laksanakan.
“Kita mengambil iktibar dan kita juga akan meneliti apakah langkah seterusnya untuk dilakukan di peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS)… yang pasti adalah program pembangunan bola sepak negara, di peringkat akar umbi, tidak boleh terhenti di situ sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Iftar Ramadan Madani (IRAMA) di Masjid Al-Ikhlas, Pulau Sepom, Tikam Batu.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap keputusan CAS yang mengekalkan hukuman dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain warisan negara berhubung isu penggunaan dokumen tidak sah ketika proses pendaftaran untuk mewakili Malaysia.
Menurut Mohammed Taufiq, pihak kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan rakan strategik termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memastikan agenda pembangunan bola sepak negara dapat diperkukuh.
“Semangat dalam sukan bola sepak perlu diteruskan, program seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan kita teruskan dan kita akan bekerja rapat bersama dengan rakan strategik FAM.
“Majlis Sukan Negara (MSN) juga akan mengambil tanggungjawab untuk memastikan NFDP ini dapat terus melahirkan lebih ramai lagi atlet di peringkat akar umbi untuk pembangunan bola sepak kita,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan CAS mengekalkan penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan negara yang dikaitkan dengan isu penggunaan dokumen tidak sah bagi mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Felipe, Jon Irazabal dan Hector Hevel.