PASUKAN bawah-23 Malaysia bakal berentap dalam satu lagi pentas berprestij apabila diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei Darussalam bagi edisi kelima kejohanan bola sepak belia serantau, ASEAN U-23 Mandiri Cup™ 2025 yang akan berlangsung dari 15 hingga 29 Julai ini di Jakarta dan Bekasi, Indonesia.
Kejohanan dwitahunan ini bukan sekadar pentas persaingan, tetapi turut menjadi medan mencungkil bakat-bakat muda Asia Tenggara dengan sokongan padu daripada penaja utama baharu, Bank Mandiri – bank terbesar Indonesia – yang kini menjadi penaja utama pertama dalam sejarah kejohanan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2005.
Gelora Bung Karno dan Stadium Patriot akan menjadi lokasi pertempuran bintang muda dari 10 negara ASEAN. Tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan layak ke separuh akhir pada 25 Julai sebelum final dilangsungkan pada 29 Julai. Gelora Bung Karno akan menjadi pentas bagi aksi kemuncak, menghidupkan semula suasana gemilang bola sepak serantau.
Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth menegaskan bahawa penganjuran kejohanan ini bukan sahaja sebagai pertandingan, tetapi lambang penyatuan, harapan dan masa depan bola sepak ASEAN. “Mandiri Cup™ 2025 lebih daripada sekadar kejohanan – ia adalah perayaan bakat, perpaduan dan aspirasi.”
Juara bertahan Vietnam yang memenangi edisi 2021 dan 2023 dijangka menjadi pilihan utama, manakala Thailand (juara 2005) dan Indonesia (juara 2019) pastinya mahu merampas kembali mahkota kejuaraan. Malaysia, yang sering dilihat sebagai pencabar dalam kejohanan ini, kini berpeluang mencipta kejutan di ‘kandang’ musuh tradisi serantau.
Kerjasama strategik antara Bank Mandiri dan PSSI turut menunjukkan komitmen sektor korporat dalam memperkukuh landskap pembangunan sukan di rantau ini. Bank Mandiri menyifatkan penyertaan mereka sebagai pelaburan untuk mengangkat pencapaian sukan Indonesia dan rantau ASEAN ke tahap lebih tinggi.
Mandiri Cup 2025 dijangka menjadi titik tumpu penting dalam kalendar bola sepak ASEAN tahun ini, dan skuad kendalian Nafuzi Zain pastinya mahu mencipta impak serta menamatkan kemarau kejuaraan dalam kejohanan ini.