HUBUNGAN diplomatik bola sepak antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Paris Saint-Germain (PSG) terus mekar apabila DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan bersejarah PSG menjulang trofi UEFA Champions League (UCL) buat kali pertama dalam sejarah kelab itu.

PSG menampilkan aksi luar biasa pada final awal pagi Ahad di Munich apabila membelasah Inter Milan 5-0 hasil jaringan bertenaga oleh Desire Doue (dua gol), Khvicha Kvaratskhelia, Achraf Hakimi dan Senny Mayulu. Kejayaan ini sekali gus menobatkan pasukan kendalian Luis Enrique sebagai raja baharu Eropah dan mencipta sejarah baharu dalam bola sepak Perancis.

DYAM Tunku Ismail menerusi satu hantaran di platform X menyatakan rasa bangga dan teruja menyaksikan kemenangan yang turut membanggakan negara Qatar serta Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi. Baginda menulis: “Tahniah, saudara. Sangat gembira untuk Duli Yang Maha Mulia, kamu, Qatar, PSG, dan Paris. Jumpa lagi, insya-Allah.”

Hubungan erat antara JDT dan PSG bukanlah asing, malah kedua-dua kelab telah memeterai kerjasama rasmi sejak Januari lalu, membuka laluan pertukaran idea, fasiliti dan teknologi bola sepak moden antara dua gergasi dari benua berbeza. Lawatan DYAM Tunku Ismail ke pusat latihan PSG sebelum ini turut mencerminkan komitmen tinggi JDT untuk terus belajar dan berkembang sebagai kelab profesional bertaraf dunia.

 

Kejayaan PSG ini bukan sekadar menjadi inspirasi kepada pencinta bola sepak global, malah membakar semangat pasukan seperti JDT untuk terus menjejak langkah dalam usaha merevolusikan struktur dan standard bola sepak di rantau Asia Tenggara. Dari Larkin ke Paris, semangat bola sepak menyatukan dunia — dan hubungan erat ini adalah bukti bahawa mimpi besar boleh dicapai apabila ada visi, sokongan dan kepercayaan.

TAMAT