Tan Sri Hamidin Mohd Amin menolak tanggapan bahawa FAM mempunyai masalah susulan dapatan audit AFC dan FIFA yang menyentuh isu kegagalan pembentangan bajet kepada Kongres.
Sebaliknya, beliau menjelaskan terdapat perbezaan jelas antara akaun kewangan dan bajet tahunan yang sering disalah tafsir oleh orang ramai.
Menurut Hamidin, akaun FAM sentiasa diaudit setiap tahun oleh auditor dalaman selain pemantauan daripada FIFA dan AFC.
“Akaun kita telus. Kita diaudit setiap tahun dan FAM juga menerima penarafan lima bintang daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS).
“Kalau akaun kita bermasalah, FIFA tidak akan menyalurkan dana dan PJS sudah lama mengambil tindakan,” katanya.
Beliau menjelaskan isu yang dibangkitkan audit adalah kegagalan membentangkan bajet tahunan kepada Kongres bagi tahun 2023 hingga 2025 walaupun ia telah diluluskan di peringkat Jawatankuasa Kewangan dan Exco.
Katanya, perkara itu akan diperbetulkan bermula tahun hadapan apabila bajet dibentangkan secara rasmi kepada ahli gabungan.
Mengulas mengenai unjuran defisit RM5 juta yang pernah diperkatakan sebelum ini, Hamidin menjelaskan angka tersebut hanyalah ramalan awal yang sentiasa berubah mengikut penajaan dan langkah penjimatan kos.