PASUKAN Harimau Malaya melakar malam penuh gemilang di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila membelasah Vietnam 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan ke atas seteru serantau itu selepas lebih satu dekad.
Disaksikan 61,512 penyokong yang membanjiri stadium seawal jam 4 petang, skuad bimbingan Peter Clamovski mempamerkan aksi agresif sejak sepak mula dengan menurunkan empat pemain warisan baharu — Facundo Garces, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado dan Jon Irazabal — yang pantas menjadi nadi utama pasukan.
Malaysia tampil dengan corak permainan high pressing sehingga membuatkan Vietnam terpaksa bermain kasar sejak minit pertama. Walaupun menguasai permainan, percubaan Dion Cools yang terkena tiang (m-35) dan tandukan Figueiredo yang diselamatkan penjaga gol Vietnam, Nguyen Filip (m-39) menyaksikan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.
Segala tekanan akhirnya membuahkan hasil selepas rehat apabila rembatan Figueiredo pada minit ke-49 yang terkena pemain lawan menerjah gawang untuk gol pembukaan Malaysia. Sepuluh minit kemudian, Holgado pula menyempurnakan hantaran Arif Aiman dari kanan untuk menggandakan kedudukan.
Malaysia terus menambah luka buat Vietnam apabila gerakan sama Arif Aiman dari sayap kanan membuka ruang buat Corbin Ong melakukan tap-in pada minit ke-66. Malam penuh bergaya itu ditutup dengan jaringan tandukan Dion Cools pada minit ke-88, mengesahkan kemenangan terbesar Harimau Malaya ke atas Vietnam.
Dengan kemenangan ini, Malaysia kini menghuni tangga teratas Kumpulan F dengan enam mata maksimum. Dalam satu lagi perlawanan kumpulan, Laos menewaskan Nepal 2-1 untuk naik ke tangga ketiga. Malaysia bakal berkunjung ke Vientiane untuk menentang Laos pada 9 Oktober nanti, dengan keyakinan tinggi dan momentum yang memuncak.