PASUKAN Malaysia bukan sekadar memburu tiga mata menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi mereka turun dengan satu misi lebih besar, memberikan kemenangan sebagai penghormatan kepada mangsa nahas bas pelajar UPSI yang mengorbankan 15 nyawa.
Di tengah kedukaan negara, skuad kendalian Peter Cklamovski bermain dengan hati dan semangat luar biasa, mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas musuh tradisi, sekali gus menyuntik harapan baharu kepada bola sepak tanah air.
Cklamovski dalam sidang media selepas perlawanan jelas menyatakan bahawa seluruh pasukan ingin memberikan sesuatu yang bermakna kepada keluarga mangsa.
“Bola sepak memang membawa kegembiraan, tetapi kejadian ini adalah tragedi besar yang menyentuh semua orang dalam pasukan. Para pemain benar-benar mahu menang untuk mereka,” ujar beliau penuh hormat.

Ultras malaya turut bersama mendoakan buat para pelajar yang terlibat dengan nahas kemalangan di Gerik. Al-Fatihah. FOTO:Iqbal
Dari segi taktikal, Malaysia bermula dengan sedikit kegusaran hasil daripada skuad yang masih segar dan tidak banyak diketahui ramai. Namun, mereka pantas menyesuaikan diri dan menguasai permainan.
“Separuh masa pertama kita bermain dengan baik walaupun belum dapat jaringan. Tapi yang penting, kami kekal fokus, berdisiplin dan bekerja keras sebagai satu pasukan. Ini bukan tentang satu pemain, tapi tentang kesebelasan yang bermain dengan satu jiwa,” kata jurulatih dari Australia itu.
Menurut Cklamovski lagi, perubahan taktikal dilakukan pada separuh masa dengan menunjukkan klip video pendek kepada pemain tentang ruang-ruang yang boleh dieksploitasi di benteng Vietnam. Hasilnya, ledakan demi ledakan hadir selepas gol pertama.
“Kami tekankan, kalau dapat satu, pasti akan datang dua, tiga dan seterusnya. Akhirnya kami dapat empat. Itu hasil usaha sepasukan dan disiplin tinggi,” tambahnya dengan nada bangga.

“One minute of Silence” untuk mendoakan buat pelajar UPSI sebelum perlawanan bermula. FOTO:Iqbal
Lebih membanggakan, barisan pemain simpanan yang dimasukkan turut memberi impak positif satu titik jelas bahawa skuad ini mula menunjukkan kebangkitan. Kemenangan ini bukan sahaja membuka peluang cerah dalam saingan Kumpulan F, malah menunjukkan Malaysia berada di landasan tepat menuju perlawanan penentu menentang Vietnam di Hanoi pada perlawanan terakhir kumpulan.
Di sebalik strategi dan taktikal, kemenangan ini adalah tentang emosi, kebersamaan dan semangat kebangsaan. Harimau Malaya telah memberi lebih daripada sekadar persembahan bola sepak mereka telah menghulurkan harapan dan penghormatan buat keluarga yang sedang berduka. Malam semalam, Malaysia menang bukan sekadar di atas padang, tetapi juga di hati.