PENGGIAT industri sukan tanah air semakin gusar menjelang 1 Julai ini apabila pelbagai perkhidmatan berkaitan sukan bakal dikenakan Cukai Perkhidmatan (SST) sebanyak 8% — termasuk sewa gelanggang, latihan kejurulatihan, serta program akademi akar umbi.

Keputusan ini menimbulkan persoalan besar dalam kalangan komuniti sukan apabila perkhidmatan seperti manicure, facial dan dandanan rambut dikecualikan daripada cukai, namun tidak bagi aktiviti yang terbukti memberi manfaat kesihatan, sosial dan mental kepada rakyat Malaysia.

Bagi pihak pelatih sukan, pengusaha akademi dan pusat kecergasan, langkah ini bukan sahaja membebankan, malah dilihat sebagai penghalang kepada usaha mereka membina masyarakat yang lebih sihat dan aktif. Dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu, cukai ini boleh memaksa mereka menaikkan harga — sekali gus menyekat akses rakyat kepada aktiviti sukan.

Hakikatnya, sukan bukan kemewahan. Ia keperluan asas yang memberi pulangan besar kepada negara.

Adakah wajar usaha menyelamatkan nyawa melalui gaya hidup sihat dikenakan cukai sedangkan servis kosmetik dikecualikan? Kami di Flash Sukan melihat ini sebagai satu bentuk ketidakadilan yang tidak selari dengan semangat Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Lebih membimbangkan, dasar ini boleh membantutkan pembangunan bakat muda. Akademi futsal di kampung, gelanggang badminton komuniti dan jurulatih akar umbi yang selama ini menjadi tulang belakang pembangunan sukan negara — kini perlu beroperasi dengan tekanan kos yang lebih tinggi.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan diminta mempertimbangkan semula pelaksanaan cukai ini terhadap sektor sukan. Jika benar kerajaan ingin membina Malaysia yang lebih sihat, aktif dan bersatu melalui sukan, pengecualian SST kepada fasiliti dan perkhidmatan sukan adalah langkah tepat.