JAGUH dunia dan Olimpian tanah air kembali mencuri tumpuan apabila disenaraikan dalam kelompok akhir calon Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik sempena Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100PLUS 2024.
Antara nama besar yang bakal merebut gelaran berprestij itu termasuk pemenang pingat gangsa beregu lelaki Sukan Olimpik Paris, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; pelari menara bertaraf dunia, Soh Wai Ching; ratu tenpin boling negara, Sin Li Jane; atlet wushu, Tan Cheong Min dan pemain boling padang nombor satu dunia, Farah Ain Abdullah.

Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap mengumumkan hadiah kemenangan kewartawanan SIEBEL dinaikkan daripada RM7,000 kepada RM10,000.
Saingan bagi Anugerah Atlet Para Terbaik pula dijangka hangat apabila dua jaguh Paralimpik, Cheah Liek Hou (para-badminton) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting) kembali menjadi pilihan utama untuk menggenggam trofi tersebut buat kali ketiga sejak kategori itu diperkenalkan pada 2016.
Tiga lagi calon dalam kategori sama yang turut mencuri perhatian adalah Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Datuk Latif Romly (lompat jauh T20) dan Eddy Bernard (lari pecut T44) – masing-masing membawa rekod cemerlang di pentas antarabangsa.
Presiden SAM, Norismadi Abd Manap berkata, pemenang kategori utama itu, Anugerah SAM akan menerima hadiah wang tunai RM10,000, lberserta trofi, manakala anugerah kewartawanan sukan utama iaitu SIEBEL meningkat daripada RM7,000 kepada RM10,000.

“Kami sebulat suara bersetuju menaikkan jumlah hadiah sebagai penghargaan kepada pengorbanan dan kejayaan atlet. Terima kasih kepada 100PLUS yang terus menjadi penaja utama dan menyokong SAM sejak 2003,” katanya, dalam sidang media di ibu negara, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Libat Urus Kerajaan dan Industri Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), Norazrin Norsyam Yee yang menzahirkan komitmen pihaknya dalam menyokong pembangunan sukan negara menerusi pengiktirafan kepada atlet terbaik tanah air.