PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr. Norza Zakaria menyeru agar wanita terus diberi ruang kepimpinan dalam sukan ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan ASEAN mengenai Kesamarataan Gender dalam Sukan 2025 di Cititel Penang.

Sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) untuk zon Asia Tenggara, Norza menegaskan bahawa era dominasi lelaki dalam sukan semakin berakhir apabila lebih ramai wanita kini mengetuai peranan penting dalam tadbir urus dan pembangunan industri sukan.

“Kepimpinan wanita bukan sekadar soal keseimbangan gender, tetapi perlu untuk membawa perspektif baharu dan membina masa depan sukan yang lebih inklusif dan progresif,” katanya.

Norza turut memberi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh atas kepimpinan beliau serta menyifatkan penganjuran persidangan ini sebagai langkah tepat ke arah reformasi struktur sukan serantau.

Antara pencapaian wanita dalam sukan tempatan yang dibanggakan termasuk pelantikan Datuk Nicol David sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Olimpik Paris 2024, serta Nurul Huda Abdullah, Moira Tan dan Shalin Zulkifli yang kini memegang jawatan penting dalam struktur kepimpinan MOM.

Beliau turut mengangkat kejayaan wanita Asia di peringkat antarabangsa seperti Mikee Cojuangco Jaworski (Filipina), Khunying Patama Leeswadtrakul (Thailand) dan Zhang Hong (China) yang kini berada dalam Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).