BEKAS pengendali Perak FC, Yusri Che Lah memberi amaran awal bahawa Indonesia bakal menjadi ancaman paling besar buat Malaysia B-23 dalam kempen Piala Mandiri ASEAN B-23 yang bakal bermula tidak lama lagi.
Menerusi undian rasmi, skuad bimbingan Nafuzi Zain diletakkan dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Brunei dan Filipina, satu laluan yang nampak seimbang di atas kertas, namun Yusri tidak melihat tugas itu semudah dijangka. Baginya, aksi terakhir kumpulan menentang Indonesia pada 21 Julai bakal menjadi penentu kedudukan sebenar dan ujian sebenar kekuatan mental anak buah negara.
“Saya rasa Indonesia adalah saingan terbesar kita dalam mana-mana kejohanan. Sudah pasti dalam kejohanan ini, diletakkan dalam satu kumpulan, saya melihat aksi terakhir sebagai penentuan juara dan naib juara kumpulan,” kata Yusri ketika diminta mengulas cabaran menanti Harimau Muda.

Yusri Che Lah memberi amaran awal bahawa Indonesia bakal menjadi ancaman paling besar buat Malaysia B-23.
Bekas pemain kebangsaan itu turut menekankan bahawa kunci utama untuk mara lebih jauh adalah kekuatan mental pemain. Bagi beliau, aspek psikologi dan kemampuan untuk menahan tekanan sebelum, semasa dan selepas perlawanan menjadi faktor utama yang perlu diperkukuh jika mahu melakar kejayaan sebagaimana edisi terdahulu yang menyaksikan Malaysia muncul empat pasukan terbaik.
Sementara itu, skuad negara sudah memulakan persiapan rapi dengan mengharungi beberapa aksi ujian. Selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas PDRM FC, dan kememnangan 4-1 menentang Melaka FC dalam satu lagi aksi pemanas badan sebelum bertolak ke kejohanan sebenar.
Dengan reputasi Indonesia yang semakin meningkat dalam kancah bola sepak Asia Tenggara, pertembungan menentang Garuda Muda bukan sekadar pertarungan taktikal, tetapi juga medan ujian ketahanan mental dan fizikal pemain-pemain muda negara.