FILIPINA, Thailand dan Singapura muncul sebagai tiga duri utama dalam misi skuad ragbi 7 sebelah wanita negara memburu pingat di Sukan SEA Thailand 2025, Disember ini.

Ketua jurulatih negara, Mohammad Faiz Samsukhidir menyuarakan kebimbangan terhadap pendekatan Filipina yang dijangka menurunkan beberapa pemain naturalisasi saat akhir, sebagaimana yang dilakukan mereka pada edisi terdahulu.

Bunga Raya 7s wanita berdepan tugas berat membawa pulang pingat dari Bangkok Disember depan. | FOTO MR

“Mereka pernah bawa masuk empat pemain naturalisasi, kali ini saya jangka lebih ramai. Walaupun ada isu bajet, dalam temasya seperti ini apa saja boleh jadi,” katanya, ketika ditemui.

Menurutnya, skuad Singapura juga tidak boleh dipandang ringan kerana memiliki kelebihan dari segi keserasian selepas dua tahun berlatih dengan barisan sama dan pernah menewaskan Bunga Raya 7s wanita tahun ini.

Jurulatih Bunga Rayq 7s Wanita, Mohammad Faiz Samsukhidir waspada dengan pasukan Filipina.

Thailand selaku tuan rumah pula sudah tentu tampil lebih bersedia dengan sasaran mempertahankan penguasaan di pentas Asia Tenggara dan itu memberi tekanan tambahan buat Bunga Raya 7s.

Bunga Raya 7s Wanita baru memulakan latihan berbanding persiapan intensif Singapura.

Bagaimanapun, Faiz tetap optimis anak buahnya mampu memberi saingan terbaik dengan misi utama ialah menamatkan kemarau ke final selepas hanya meraih gangsa ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pada Sukan SEA Thailand nanti, ragbi 7s akan berlangsung di Stadium Dhupatemiya, di Pathum Thani, Bangkok.