DINOBATKAN sebagai pemain terbaik perlawanan selepas meledak dua gol dalam kemenangan 7-1 ke atas Brunei, pemain sayap lincah negara, Haqimi Azim enggan leka dan segera mengalihkan tumpuan kepada misi penting menentang Indonesia.

Haqimi menyifatkan kemenangan besar itu bukan sekadar pemulih semangat, malah menjadi ‘bahan bakar’ buat Harimau Muda untuk turun habis-habisan dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang tuan rumah yang dijangka berlangsung dalam suasana cukup panas.

“Kemenangan ini adalah semangat yang akan dibawa untuk perlawanan menentang Indonesia nanti. Jadi kami akan lakukan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan pada Jumaat.

Haqimi yang mencuri perhatian dengan sumbangan dua gol serta satu bantuan jaringan turut menegaskan bahawa tiada ruang untuk rasa selesa menjelang pertemuan getir itu.

“Menentang Indonesia nanti, kami akan berusaha lebih baik dan tidak ambil mudah. Kami akan beri 100% dalam perlawanan tersebut,” tegasnya.

Malaysia kini berada di kedudukan kedua Kumpulan A dengan tiga mata dan wajib menang ke atas Indonesia jika mahu menempah tempat ke separuh akhir Piala Mandiri ASEAN B-23.

Harimau Muda dijangka berdepan suasana tegang apabila turun menentang skuad Garuda Muda yang dibarisi pemain berprofil tinggi dan disokong puluhan ribu penyokong fanatik di Stadium Gelora Bung Karno esok.

Tekanan pastinya tinggi, namun jika semangat seperti yang ditunjukkan oleh Haqimi dan rakan-rakan terus menyala, Harimau Muda mampu mencipta sesuatu yang luar biasa di Jakarta.