SELEPAS dihimpit kontroversi dan tekanan luar padang, Presiden Kelantan Red Warrior (KRW), Nik Hafiz Naim Nik Hassan akhirnya mengumumkan peletakan jawatan serta-merta dalam satu sidang media yang turut mengesahkan pengambilalihan penuh pasukan oleh syarikat tempatan, Nasken Coffee.

Pengumuman mengejut itu hadir di saat KRW bersiap untuk menyertai saingan Liga A1 semipro musim 2025/26. Menurut Nik Hafiz, keputusan itu bukan mudah, namun perlu dibuat demi kelangsungan dan masa depan pasukan yang terpalit dengan isu-isu yang menghalang kemajuan mereka.

“Banyak isu dibangkitkan di media berkait saya sebagai pemegang saham Kelantan FC, sehingga memberi kesan kepada KRW termasuk sekatan daripada FIFA. Jadi saya berundur untuk mudahkan laluan KRW ke Liga A1,” jelasnya dalam sidang media yang berlangsung di Lembah Sireh, Kota Bharu, pada Sabtu.

Nik Hafiz turut mengesahkan bahawa beliau melepaskan semua jawatan serta pegangan saham dalam KRW, menandakan penamatan peranan rasminya dalam pasukan yang pernah dianggap sebagai simbol kebangkitan bola sepak Kelantan selepas kemelut Kelantan FC.

Sementara itu, Nasken Coffee selaku pemilik baharu diumumkan telah melantik Wan Mohd Fajarulekram Wan Mokhtar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KRW yang baharu. Langkah ini memberi isyarat bahawa pengurusan pasukan kini berada di landasan baharu yang lebih stabil dan profesional.

“KRW ini umpama bayi yang lahir daripada kosong. Kami di Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) sudah capai misi asal — tubuh pasukan baharu. Sekarang, saya percaya pasukan ini akan terus maju dengan pengurusan yang baharu,” tambah Nik Hafiz yang menyifatkan KRW sebagai hasil perjuangan kolektif, bukan individu.

Dengan segala urusan pengambilalihan dimuktamadkan dan usaha menyelesaikan isu bersama FIFA sedang dijalankan, KRW kini bersedia untuk mencipta lembaran baharu dalam saingan Liga A1 — kali ini tanpa bayang-bayang kontroversi lalu.

 

FOTO:Kelantan Red Warrior FC