MALAYSIA berpeluang cerah membawa pulang kejuaraan dari Terbuka Macau apabila tiga wakil negara mara ke final, namun malangnya gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal meneruskan rentak cemerlang mereka.

Pasangan pilihan utama kejohanan yang juga gandingan nkmbor tiga dunia itu dikejutkan gandingan muda Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje (176 dunia) dengan kekalahan 21-15, 17-21, 11-21 dalam masa 54 minit.

Arif Junaidi-Yap Roy King berpeluang memburu kejuaraan sulung tahun ini.

Bagaimanapun, negara tetap boleh berbangga apabila satu lagi pasangan beregu campuran yang baharu digandingkan, Jimmy Wong-Lai Pei Jing berjaya mengetepikan cabaran pasangan Indonesia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah 21-18, 21-16 untuk menempah slot final.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King turut mara ke final selepas mengetepikan rakan sepasukan mereka, Choong Hon Jian-Haikal Nazri 21-13, 21-15 dalam pertarungan sesama Malaysia.

Justin Hoh melangkah ke final pertama tahun ini.

Paling mencuri tumpuan ialah perseorangan lelaki, Justin Hoh yang mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit menewaskan wakil India, Tharun Mannepalli 19-21, 21-16, 21-16 dalam pertarungan sejam 21 minit.

Aksi final esok bakal menyaksikan Justin menentang pilihan kelima dari Indonesia, Alwi Farhan.