SUKAN SEA Thailand medan tuai hasil yang disemai di Kemboja apabila Malaysia akan menurunkan barisan atlet terkuat untuk memburu kejayaan berganda berbanding penampilan terdahulu.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, temasya edisi ke-33 itu juga menjadi pentas membina momentum sebelum Malaysia menjadi tuan rumah pada 2027.

“Ingat tak dahulu, bermula daripada Kemboja saya dah katakan bahawa ia Sukan SEA pertama yang kita bagi kepada atlet muda, tetapi kali ini mereka sudah berada di tahap sepatutnya,” katanya.

Norza menjelaskan fokus kali ini adalah prestasi dan keyakinan bahawa aksi cemerlang di Thailand akan menjadi pemangkin kepada persiapan besar di tanah air dua tahun lagi.

Beliau tidak menolak kemungkinan satu atau dua sukan baharu akan diberikan peluang beraksi sebagai pendedahan untuk membantu persatuan terlibat membina kekuatan.

“Konsep kali ini adalah memastikan kehadiran kita dapat dirasai dan prestasi mampu mencipta momentum untuk Sukan SEA 2027,” jelasnya.

Tentang sasaran pingat, Norza menyerahkan kepada pihak berkaitan sambil memaklumkan senarai akhir atlet akan dimuktamadkan pada 1 September dengan persiapan sedang giat dijalankan.