PRESIDEN Kehormat Seumur Hidup, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mahu Persatuan Badminton Pulau Pinang (PBA) terus menjadi kilang melahirkan bakat bertaraf dunia termasuk legenda baharu selepas Datuk Lee Chong Wei.

Beliau berkata, sumbangan PBA kepada badminton tanah air amat besar kerana telah melahirkan ramai pemain yang berjasa kepada negara.

“Setiap kali kita lihat kemunculan pemain-pemain baru. Bukan sahaja kalau dulu kita lihat lagenda seperti Datuk Sri Lee Chong Wei tetapi banyak pemain-pemain dari segala lapisan yang telah dihasilkan oleh Penang Badminton Association.

“Sebab itu sebagai seorang pemimpin badminton, saya sentiasa menghargai kepimpinan Datuk Kah (Kau Kiak) dan the whole team dekat Penang BA dan sepanjang saya menjadi presiden selama tujuh tahun, mereka telah banyak membantu terutamanya ketika saya memimpin dalam mengembangkan sukan badminton, bukan sahaja di Penang tetapi juga di seluruh Malaysia,” kata Norza yang juga Pengerusi Eksekutif CitaGlobal.

Sebagai tanda penghargaan kepada PBA, Norza menyampaikan sumbangan RM20,000 daripada CitaGlobal, untuk meraikan sambutan ulangtahun ke-100 penubuhan PBA yang diiktiraf sebagai badan induk badminton negeri tertua di Malaysia.

Sementara itu, Presiden PBA, Datuk Lah Kau Kiak mendedahkan bahawa kerajaan negeri telah menawarkan tanah seluas 10 ekar untuk membina akademi di utara tanah air itu, namun proses pembinaannya dijangka memakan masa sehingga lima tahun.

“Ini adalah visi kami, dan walaupun ia masih dalam fasa perbincangan bersama kerajaan negeri dan pihak berkepentingan, kami yakin ia mampu direalisasikan demi masa depan badminton Pulau Pinang,” kata Kau Kiak.

Majlis gilang-gemilang ulang tahun ke-100 PBA akan disambut pada 22 November depan, bakal menghimpun legenda badminton dunia termasuk Chong Wei, Taufik Hidayat serta Kento Momota.