SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bukan hanya menarik perhatian penduduk di sekitar Kampung Tekek dan Kampung Air Batang, Pulau Tioman, malah menjadi perbualan warganet yang kagum melihat pergaulan baginda bersama rakyat yang tidak sekadar menyapa malah bermain sepak takraw.
Menerusi perkongsian di akaun Instagram “kesultanan.pahang” baginda dilihat bermain dalam perlawanan sepak takraw dan sempat menunjukkan kemahirannya tanpa kekok, ketika beraksi bersama penduduk Kampung Air Batang.

Pengikut laman Instagram yang menggunakan nama “88azlina_4hmad” menyatakan rasa rindu melihat keramahan baginda ketika bergelar Tengku Mahkota.
“MasyaALLAH,rindu zaman Tuanku menjadi Tengku Mahkota dulu ..beginilah Tuanku,sentiasa bermain dengan rakyat.. sampaikan kami selesa… sedangkan depan kami adalah bakal sultan Dan sekarang, Tuanku menjadi sultan kami, Alhamdulillah, Masih sama.. Terima kasih Tuanku,sentiasa sebarkan kasih sayang buat rakyat Pahang.Terima kasih Tuanku.Daulat Tuanku,” komen 88azlina_4hmad.

Sultan Abdullah bersiar-siar sekitar pulau dengan menunggang motosikal bersama anakanda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah, sememangnya terkenal dengan sikapnya yang mesra rakyat jelata.
Dalam lawatan itu, baginda bukan sahaja menyapa malah sempat beramah mesra dengan penduduk yang dilawati.
Penduduk setempat kelihatan begitu teruja menerima keberangkatan Paduka Baginda ke kawasan mereka.

Sepanjang laluan, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyapa dan merakam gambar bersama Baginda.
Keberangkatan ini mencerminkan keakraban hubungan antara institusi diraja dengan rakyat di negeri Pahang.