TARIKH keramat 31 Ogos menjadi pemangkin semangat buat barisan pemain badminton negara yang bakal beraksi di Kejohanan Dunia 2025 di Paris, minggu hadapan.

Final kejohanan itu yang berlangsung tepat pada sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-68 memberi inspirasi tambahan untuk menghadiahkan gelaran dunia buat rakyat Malaysia.

Ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi tidak terkecuali menanam azam sama, mahu melihat bendera Malaysia berkibar megah di bumi Paris pada tarikh penuh makna itu.

Malaysia mempertaruhkan empat pasangan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Arif Junaidi-Yap Roy King.

Aaron Chia beberapa kali mengulangi mahu merampas gelaran juara dunia dan menjadikan sambutan kemerdekaan lebih bermakna.

“Memang Merdeka jadi motivasi, pemain mahu beri hadiah paling bermakna kepada rakyat Malaysia, dan gelaran dunia adalah hadiah terbaik,” katanya.

Beliau menegaskan semua pemain tidak kira di bawah BAM atau profesional tetap bersatu membawa misi yang sama, iaitu menjulang nama Malaysia.

Herry juga mengharapkan sokongan padu seluruh rakyat mampu memberi tenaga tambahan buat skuad negara yang bakal bertarung dengan lawan bertaraf dunia.