SEMANGAT juang warga UiTM Shah Alam kini membara apabila seramai 208 atlet staf bersedia untuk membawa cabaran kampus dalam Karnival Sukan Staf (KARiSTA) UiTM 2025.
Kesediaan kontinjen itu dizahirkan menerusi Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen yang disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi kepada Ketua Kontinjen UiTM Shah Alam, sekali gus menjadi simbol sokongan padu terhadap perjuangan warga kampus di pentas sukan dwitahunan tersebut.
UiTM Shah Alam bakal berentap dalam 25 acara termasuk bola sepak, badminton, bola jaring, olahraga dan tenpin boling dengan misi bukan sahaja memburu kemenangan, tetapi juga memupuk budaya hidup sihat serta memperkukuh nilai kebersamaan.
Menurut Mohd Sazili, penyertaan ini membuktikan UiTM sentiasa menekankan aspek kecergasan, daya saing dan komitmen tinggi dalam kalangan staf, selain menjadi wadah untuk mengeratkan ukhuwah bersama warga dari seluruh kampus UiTM di Malaysia.
KARiSTA UiTM 2025 bukan sekadar pentas pertandingan, tetapi juga medan penyatuan yang menonjolkan kekuatan semangat kesukanan warga kerja universiti unggul itu.