KEJAYAAN Lim Kok Leong munncul juara di Kejohanan Snuker Amatur Dunia di Antalya, Turki minggu lalu, melayakkannya menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) yang dianggarkan berjumlah RM20,000.
Hal itu disahkan Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, ketika ditemui selepas Perhimpunan Atlet Fasa 1 Sukan SEA Kemboja 2023, di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Kok Leong melakar sejarah nengara apabila menjadi atlet snuker pertama Malaysia merangkul gelaran juara pada Kejohanan Snuker Amatur Dunia selepas menewaskan wakil Iran, Amir Sarkhosh 5-0 di final.
Jaguh snuker negara itu, sekali lagi disaran menyertai program sepenuh masa di bawah MSN bagi membolehkan dia menerima elaun seperti atlet lain ketika mewakili Malaysia di kejohanan antarabangsa.
Jefri berkata, pihaknya pernah memujuk serta menawarkan program sepenuh masa kepada Kok Leong namun, atlet berusia 27 tahun itu terpaksa menolak tawaran tersebut memandangkan dia mempunyai pekerjaan tetap selain perlu memberi komitmen terhadap perniagaan yang diusahakan.
“Mengenai program snuker, kita sudah beri banyak bantuan sejak 2017 untuk temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur serta Manila 2019. Kita boleh lihat banyak peningkatan ditunjukkan atlet-atlet sukan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN:
Kok Leong beralih ke Pro dua tahun lagi
“Kita juga banyak meluluskan peruntukan bagi menyertai pertandingan tahun ini dan salah satunya adalah menyertai kejohanan dunia di Antalya, Turki. Jika bercakap mengenai elaun, mereka perlu berada dalam program sepenuh masa dan menjalani latihan di MSN.
“Tawaran pernah dikemukakan kepada mereka sebelum ini, bagaimanapun mereka tidak mengikutinya kerana mempunyai komitmen lain,” kata Jefri.