KESILAPAN sendiri dan kekebalan lawan bertahan hampir meranapkan impian beregu negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun sebelum berjaya menempah tiket ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Paris.

Pasangan pilihan keenam negara itu dipaksa berhempas pulas selama tiga set sebelum menundukkan gandingan adik beradik Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 21-15, 13-21, 21-19 di Porte de La Chapelle.

Wei Chong mengakui lawan tampil dengan kelebihan beraksi di laman sendiri sekali gus memberi tekanan berganda buat mereka untuk mengekalkan fokus hingga ke mata terakhir.

“Saya rasa lawan hari ini bermain sangat baik kerana mereka beraksi di tempat sendiri, jadi mereka betul-betul menunjukkan prestasi terbaik,” kata Wei Chong.

Kai Wun pula menegaskan kesilapan mudah di set kedua hampir memberi ruang kepada lawan untuk menguasai perlawanan sebelum mereka kembali mengawal rentak.

“Kami banyak lakukan kesilapan sendiri dan itu buatkan lawan lebih yakin, tapi saya cakap pada rakan, jangan fikir tekanan, hanya main dengan tenang dan beri yang terbaik,” kata Kai Wun.

Wei Chong-Kai Wun bakal berdepan gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy di pusingan ketiga selepas lawab mereka itu mudah menyingkirkan Kim Gi Jung-Kim Sa Rang.