KETIDAKHADIRAN Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dalam mesyuarat Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Rabu mengesahkan spekulasi mengenai kedudukannya, apabila beliau sah melepaskan jawatan sebagai Presiden badan induk itu.

Difahamkan, surat rasmi peletakan jawatan Joehari telah diterima lebih awal dengan alasan faktor kesihatan. Namun, ketiadaannya dalam mesyuarat penting itu menguatkan lagi gambaran bahawa krisis kepimpinan FAM sudah sampai ke kemuncak.

Joehari, yang dipilih sebulat suara tanpa bertanding pada Februari lalu, hanya sempat memimpin FAM kurang daripada setahun sebelum berundur. Keputusan itu membuka jalan kepada Timbalan Presiden, Datuk Yusoff Mahadi untuk memangku jawatan nombor satu bola sepak negara sehingga pemilihan baharu diadakan.

Perkembangan ini sekali lagi menimbulkan tanda tanya mengenai kestabilan pucuk pimpinan FAM, terutama apabila seorang presiden yang baru diberi mandat sudah pun meninggalkan kerusi dalam tempoh singkat. Ia menimbulkan persoalan sama ada faktor kesihatan benar-benar menjadi punca tunggal, atau wujud tekanan dalaman yang lebih besar.

Kini, tumpuan beralih kepada bagaimana Exco FAM menguruskan peralihan kuasa dan memastikan agenda pembangunan bola sepak negara tidak terganggu. Apa yang pasti, ketiadaan Joehari dalam mesyuarat Exco menutup satu episod singkat namun penuh kontroversi dalam sejarah kepimpinan FAM.