KEJADIAN Stadium Perak dipecah masuk menimbulkan persoalan dalam kalangan pasukan The Bos Gaurus.

Semalam, viral beberapa keping foto menunjukkan keseluruhan kabel dipotong dan komponen lampu limpah sudah dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Menerusi kenyataan Facebook TBG Super Fan, pihaknya kesal kerana banyak program yang telah dirancang Perak FC (PFC) sejak sebulan yang lepas untuk perlawanan pertama mereka.

“Kejadian yang menimpa ini sangat meragukan kerana saya rasa inilah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku.

“Ianya menjadi persoalan kenapa terjadi adakah bertujuan untuk mengagalkan kehadiran peminat PFC dengan perkara ini ?

“Sudah tentu pihak PFC amat memerlukan kehadiran yang ramai pada 25 Februari ini lalu meyakinkan kami untuk menjadikan sukan bola sepak ini sukan yang mampan ekonomi,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya lagi, perbuatan khianat ini ataupun kecurian kabel sangat sangat meragukan kerana banyak faktor.

“Banyak halangan yang kami hadapi selama mengambil alih kelab ini. Kenapa ianya berlaku kami sendiri pun masih gagal faham.

“Nampak macam kehadiran kami tidak disukai oleh beberapa pihak jika ianya benar,” katanya.

Pihak kelab juga dikatakan akan membuat siasatan keseluruhan bagi memastikan kejadian seperti ini tidak menganggu perjalanan kelab.

“Kami cuba untuk dapatkan kontraktor yang boleh membaik pulih keadaan ini, namun jika gagal kerugian yang bakal dihadapi oleh kelab amat tinggi.

“Kita fight satu satu demi bola sepak Negeri Perak,” katanya lagi.