BEKAS pengurus bola sepak Selangor yang juga pemerhati sukan, Zakaria Rahim berpandangan kekuatan bola sepak wanita Malaysia hanya akan lahir sekiranya budaya sukan itu dibina sejak dari akar umbi.
Mengulas perkembangan terkini skuad wanita negara, beliau menegaskan bahawa sistem pembangunan perlu bermula di sekolah melalui program dan kejohanan anjuran Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD).
“Pendapat saya, bola sepak wanita di Malaysia ini bukan satu budaya. Kalau perkenalkan bola sepak wanita dalam MSSD, dari bangku sekolah lagi mereka akan mula dilatih guru-guru. Di situ akan lahir pemain-pemain yang outstanding. Budaya bola sepak wanita akan mula wujud,” katanya.
Zakaria turut menekankan bahawa guru di sekolah rendah merupakan kunci utama pembangunan sukan negara, justeru pembudayaan bola sepak wanita mesti dimulakan dari sekarang jika benar-benar mahu melihat Malaysia melahirkan pasukan yang kompetitif di peringkat antarabangsa.
“Sedar atau tidak, guru-guru di sekolah rendah adalah kunci pembangunan sukan di Malaysia. Kena budayakan dulu bola sepak wanita di Malaysia kalau mahu tengok bola sepak kita maju. Mungkin ambil masa berpuluh tahun untuk bina budaya, tapi kena mula dari sekarang. FAM kena bekerjasama dengan KPM kalau betul-betul nak bola sepak wanita kuat,” jelasnya.