BEREGU campuran negara mengesahkan dua slot ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025, selepas gandingan nombor 4 dan 16 dunia mengatasi lawan masing-masing.

Pilihan keempat, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melepasi cabaran getir dihadirkan pasangan Indonesia, Hidayatullah-Felisha Nathaniel Pasaribu manakala Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin pula mengatasi pasangan senior negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai di pusingan ketiga, hari ini (Khamis).

Terdahulu, Pang Ron-Su Yin ke suku akhir Kejohanan Dunia pertama mereka selepas mengharungi aksi tiga set penuh dramatik, 13-21, 23-21, 21-17, menewaskan Soon Huat-Shevon di Porte de La Chapelle, Paris.

“Kami sebenarnya belum berjaya tahun ini, jadi layak ke suku akhir Kejohanan Dunia adalah satu kejayaan besar untuk kami,” kata Pang Ron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin beroleh keyakinan tinggi apabila lolos ke suku akhir Kejohanan Dunia.

Pada set kedua, pasangan itu hampir tersingkir apabila ketinggalan 15-19 namun Su Yin berjaya menenangkan diri dan kembali fokus.

Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei meraikan kemenangan sepenuh perasaan, biarpun memiliki rekod bersih dua kemenangan ke atas lawan dari Indonesia hasil dua pertemuan sebelumnya.

“Ya kami gembira bukan hanya kerana menang tetapi kami tahu betapa sukarnya perlawanan ini. Lawan memberi tekanan, momentum dan rentak membuatkan kami emosi mara ke suku akhir,” kata Tang Jie, selepas dia dan Ee Wei mengatasi Hodayatullah-Felisha 17-21, 21-16, 21-12 dalam tempoh 58 minit.

Di suku akhir esok, Tang Jie-Ee Wei akan menentang wakil India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, manakala Tang Jie-Ee Wei akan berdepan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.