PENGANJUR kejohanan atau acara sukan diwajib menginsuranskan semua peserta dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang merangka kaedah terbaik menerusi libat urus bersama Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

Langkah itu diambil bagi memastikan kebajikan atlet sentiasa terpelihara khususnya ketika terbabit dalam kejohanan kompetitif di pelbagai peringkat.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, usaha itu bukan sekadar memenuhi keperluan semasa tetapi menjadi garis panduan wajib buat semua penganjur acara sukan di negara ini.

Menurutnya, perbincangan dengan PIAM akan mengenal pasti pakej terbaik supaya perlindungan insurans mampu ditanggung penganjur tanpa membebankan peserta.

“Kita mahu setiap atlet tidak kira peringkat akar umbi atau profesional mempunyai perlindungan asas jika berlaku kemalangan ketika beraksi,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan.

Katanya lagi, kementerian sedang menilai model terbaik bagi memastikan kos berpatutan selain pelaksanaannya konsisten dalam semua jenis acara.

KBS percaya inisiatif itu mampu meningkatkan keyakinan ibu bapa, penaja dan masyarakat terhadap keselamatan atlet yang menyertai kejohanan rasmi.

Dengan pelaksanaan insurans wajib ini, kerajaan mahu sukan di Malaysia berkembang dalam persekitaran lebih selamat, profesional dan berdaya saing.