LEONG Jun Hao menganggap pertemuan menentang rakan senegara, Lee Zii Jia di pusingan pertama Terbuka Hong Kong bermula Selasa, sebagai titik perubahan penting dalam kerjayanya.
Pemain berusia 25 tahun itu percaya cabaran menentang bekas pemain nombor satu negara itu mampu menjadi kayu pengukur sebenar tahap permainan semasanya.
“Ya, mungkin bagi saya memang ia satu cabaran untuk lawan dia dan saya jadikan ia sebagai turning point untuk terus maju,” katanya.
Jun Hao menegaskan pertemuan sesama pemain negara sentiasa sukar kerana kedua-duanya saling mengenali corak permainan biarpun kedua-duanya tidak lagi berlatih bersama.
“Saya rasa balik sini dan beberapa hari macam ambil masa untuk pulih (take time to recover), kemudian sekarang latihan kembali seperti biasa (back to normal).
“Bergantunglah (keputusan) sebab dia (Zii Jia) hari itu pun sudah kembali ke satu kejohanan (Kejohanan Dunia), walaupun baru satu. Jadi, ya bergantung sebab kita pun tahu dekat Hong Kong, setiap gelanggang atau apa kondisinya lain. Jadi, ia bergantung pada apa yang berlaku minggu depan”
Mengulas tentang persahabatan, Jun Hao tidak teragak-agak untuk menegaskan bahawa dalam gelanggang, lawan tetap lawan.
Berdasarkan rekod pertemuan, Zii Jia menang kesemua tiga perlawanan menentang Jun Hao dan semuanya berlarutan dalam pertarungan rubber game.