BEKAS Olahragawati Negara, Datuk Marina Chin tampil menjernihkan polemik isu wang ganjaran Anugerah Sukan Negara (ASN) yang didakwa tidak sampai kepada penerima era lalu.

Marina menjelaskan dasar ketika beliau dinobatkan Olahragawati Negara 1976 dan 1977 melarang atlet amatur menerima wang tunai kerana boleh menukar status mereka kepada profesional.

“Ketika itu, peruntukan kewangan disalurkan terus kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) untuk pembangunan bakat, latihan dan penyertaan kejohanan,” katanya.

Menurutnya, perkara tersebut difahami sepenuhnya oleh atlet pada zaman berkenaan dan tidak pernah menjadi pertikaian.

Datuk Marina Chin menjelaskan pada zamannya, hanya atlet profesional boleh menerima hadiah wang tunai.

“Sebarang isu berkaitan pembayaran atau perubahan dasar selepas itu hanya boleh disahkan melalui rekod rasmi Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan masing-masing,” katanya.

Marina turut menegaskan perkara ini tidak sepatutnya dikaitkan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika ini kerana ia berhubung dasar lampau.

Justeru, beliau mencadangkan MSN dan NSA mengeluarkan kronologi rasmi mengenai kaedah penyaluran ganjaran sejak penganjuran Anugerah Sukan Negara termasuk tarikh perubahan dasar kepada pemberian terus kepada atlet.

“Jika ada kekurangan atau tuntutan sah, ia wajar diperbetulkan secara terhormat supaya jasa legenda sukan dihormati dan warisan sukan terus dihargai,” katanya.