PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah berani mempertaruhkan barisan pemain muda pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 sebagai ujian awal di pentas Asia.
Kejohanan yang berlangsung di Qingdao, China dari 3 hingga 8 Februari itu menjadi medan penting buat pemain muda negara mengutip pengalaman berharga.
Perseorangan lelaki, Justin Hoh serta beregu Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King menjadi sandaran utama skuad lelaki negara.

Selain itu, BAM turut menyenaraikan Aidil Sholeh Sadikin, Eogene Ewe dan Kong Wei Xiang bagi melengkapkan cabaran perseorangan dan beregu.
Skuad lelaki negara yang pernah muncul juara 2022 dan naib juara 2024 diundi dalam Kumpulan D bersama Indonesia dan Myanmar.

Bagi skuad wanita, Malaysia diundi dalam Kumpulan W bersama tuan rumah China dengan K Letshanaa dan Wong Ling Ching mengetuai cabaran perseorangan, manakala Ong Xin Yee-Carmen Ting memimpin beregu wanita.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad wanita negara di BATC adalah meraih pingat gangsa pada edisi 2020 dan 2022.