BINTANG badminton para, Cheah Liek Hou mahu melakar lebih banyak kejayaan selepas dinobat Pemain Para Lelaki Terbaik Dunia 2025 pada Majlis Gala Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China, malam tadi.
Dia yang memrnangi dua anugerah termasuk Anugerah Beregu Para Terbaik Dunia 2025 bersama Mohd Fareez Anuar berkata, pengiktirafan itu menjadikannya lebih bermotivasi biarpun sudah mencecah usia 37 tahun.

Cheah Liek Hou bersama Mohd Fareez Anuar ketika menerima Anugerah Pemain Beregu Terbaik Para Dunia 2025.
“Anugerah ini mendorong saya mahukan sesuatu yang lebih baik pada tahun depan. Saya harap ia dapat memberi semangat untuk terus berjuang dan tidak mudah berputus asa walaupun usia saya tidak lagi muda.
“Selain itu, saya juga berharap dapat mengekalkan tahap konsistensi dalam badminton para,” katanya, ketika dihubungi Flash Sukan.

Cheah Liek Hou menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Atlet Para Terbaik pada Anugerah SAM-100PLUS.
Menurutnya, dinamakan sebagai pemain terbaik para oleh BWF adalah pencapaian luar biasa, kerana hanya seorang dipilih daripada semua kategori, WH1, WH2, SL3, SL4, SU5, termasuk SH6.
“Anugerah ini memang sudah lama saya nantikan dan ini kali pertama saya menerimanya daripada BWF. Sepanjang karier, inilah antara pengiktirafan terbesar yang belum pernah saya capai dan akhirnya menjadi milik saya. Saya bangga dan terharu kerana masih mampu menerima anugerah sebesar ini.”

Justeru, Liek Hou berazam untuk menakluk tiga kejohanan utama tahun hadapan bermula dengan ASEAN Para Games di Nakhon Ratchasima, Thailand pada Januari, disusuli Kehohanan Dunia Para di Manama, Bahrain pada Februari serta Asian Para Games di Aichi-Nagoya, Jepun pada Oktober.
Kejayaan merangkul anugerah berkenaan bermakna Liek Hou menamatkan penantian panjang selepas lima tahun berturut-turut berada dalam senarai pencalonan.
Untuk rekod, sepanjang musim Jelajah Para Dunia 2025 menyaksikan Liek Hou cemerlang apabila memenangi lima gelaran perseorangan serta tujuh gelaran beregu lelaki, dengan empat daripadanya diraih bersama Fareez.