MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa lebih banyak Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) menganjurkan klinik latihan bagi membangunkan keupayaan atlet serta jurulatih tempatan.
Beliau berkata, beberapa klinik yang dibiayai kementerian telah pun berjalan untuk sukan tertentu dan akan diperluaskan lagi pada masa akan datang.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyediakan peruntukan bagi penganjuran klinik sukan tersebut, namun perkara itu masih belum diumumkan secara meluas. Bagaimanapun, program itu sudah bermula dengan beberapa jenis sukan,” katanya.
“Contohnya sepak takraw dan wushu. Kita akan cuba dapatkan dana sama untuk tahun depan supaya sukan lain juga dapat manfaat yang sama,” katanya pada sidang media sempena klinik skuasy bersama legenda Australia, David Palmer semalam.
Bekas juara dunia itu mengendalikan klinik skuasy empat hari bagi membantu pembangunan sukan berkenaan di Malaysia, dengan tumpuan utama kepada jurulatih dan pemain tempatan.
Menurut Hannah, kehadiran pakar antarabangsa seperti Palmer memberi peluang besar kepada atlet dan jurulatih untuk menimba ilmu serta meningkatkan kemahiran mereka.
Pendekatan sebegini amat penting khususnya bagi mereka yang tidak berpeluang mendapat pengalaman berlatih di luar negara.
Beliau menegaskan inisiatif klinik sukan mampu menutup jurang pengalaman dengan negara lain sekali gus memperkukuh pembangunan bakat muda di Malaysia.
sumber : Ritchie Falco