SELEPAS 12 tahun, Sukan Borneo kembali dianjurkan pada 24 hingga 28 September 2025 di Kompleks Sukan Petra Jaya, Kuching, menghimpunkan lebih 1,000 atlet dari enam wilayah iaitu Sarawak, Sabah, Labuan, Brunei, Kalimantan Timur dan Kalimantan Barat.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan ini bertujuan mengukuhkan hubungan serantau di Borneo selain mempromosikan sukan dan pelancongan.

“Menerusi sukan, seni dan budaya, kita dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan kejohanan itu.

 

Penganjuran kali ini menampilkan tujuh acara utama iaitu olahraga, renang, badminton, boling padang, memanah, menyumpit dan tarik tali. Acara kelapan ialah golf jemputan khas yang tidak menawarkan pingat tetapi memberi peluang kepada tetamu merasai suasana kejohanan.

Selain itu, penganjur turut memperkenalkan “Borneo Kitchen” serta pameran seni dan kraf tangan bagi membolehkan kontinjen peserta mempamerkan warisan budaya masing-masing.

Sukan Borneo yang bermula sejak 1955 pernah menjadi kejohanan terbesar di rantau ini, namun kali terakhir dianjurkan pada 2013.

Kembalinya temasya berprestij ini bukan sahaja merancakkan arena sukan serantau, malah diharap mampu merapatkan hubungan antara negeri dan wilayah Borneo.

Lebih daripada itu, Sukan Borneo 2025 dijangka menjadi jambatan generasi baharu untuk membina kerjasama masa depan melalui sukan, seni dan budaya.

SUMBER: RITCHIE