SERAMAI 64 pemain golf remaja dari seluruh Pahang mengambil bahagian dalam Kejohanan Golf Remaja Pahang Piala YAM Tengku Arif Bendahara, yang berlangsung di Mahkota Golf & Country Club (MGCC) pada 2 September lalu.
Kejohanan julung kali itu adalah cetusan idea dan inisiatif YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berhasrat menyediakan platform terbaik untuk mencungkil bakat baru serta melahirkan pelapis berkualiti dalam sukan golf.
Lebih istimewa, YAM Tengku Arif Bendahara turut menyumbang hadiah utama kepada pemenang, sekali gus menambahkan prestij serta memberi suntikan semangat kepada peserta yang bertanding.
Menurut baginda, penganjuran kejohanan itu bukan sekadar pentas pertandingan, sebaliknya usaha berterusan memperkukuh pembangunan golf remaja di Pahang dan seterusnya mengangkat nama negeri ke peringkat lebih tinggi.

Kejohanan ini turut mendapat sokongan penuh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan penghargaan atas inisiatif YAM Tengku Arif Bendahara untuk memajukan bakat-bakat muda.
Antara sekolah yang mengambil bahagian termasuk SK Ulu Tembeling, SK Kuala Sat, SK Merting, SK Mad Daling, Jerantut serta komuniti Orang Asli dari SK Kedaik, menandakan penglibatan menyeluruh dari bandar hingga luar bandar.
Penganjuran ini sekali gus membuktikan golf bukan lagi sekadar sukan elit, sebaliknya pentas terbaik melahirkan generasi baharu yang berdisiplin, berkeyakinan dan berpotensi besar untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Kredit gambar: Media sosial Kesultanan Pahang