KONTINJEN Universiti Teknologi MARA (UiTM) membawa misi besar ke pentas Kejohanan Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2025 dengan tekad mempertahankan gelaran juara keseluruhan buat kali kelapan berturut-turut sejak 2017.

Dengan kekuatan 229 atlet dan pegawai, UiTM bakal berentap dalam 10 acara utama termasuk taekwondo, silat, karate, memanah, bola tampar, bola tampar pantai, petanque, sofbol, catur dan boling padang di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bermula 15 hingga 21 September ini.

Majlis penyerahan bendera kontinjen di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam berlangsung penuh semangat dengan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, meniupkan kata motivasi agar UiTM terus mempertahankan maruah sebagai juara bertahan.

“UiTM bukan sekadar datang bertanding, kita datang sebagai juara bertahan. Tujuh tahun berturut-turut kita sudah buktikan, dan tahun ini kita mahu pastikan kejuaraan kelapan terus milik UiTM,” katanya.

UiTM sebelum ini konsisten mendominasi kedudukan keseluruhan MASUM, sekali gus menjadi kuasa besar sukan IPT dan penanda aras buat universiti lain. Gabungan atlet berpengalaman dan bakat baharu diyakini memberi keseimbangan terbaik untuk kontinjen kali ini.

Dengan slogan “When the Lion Roar” sebagai pembakar semangat, barisan atlet UiTM bertekad untuk mengaum di gelanggang lawan demi mempertahankan legasi sebagai kuasa dominan sukan universiti negara.