TIADA wakil Malaysia akan beraksi di final Terbuka Hong Kong esok selepas beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah terkandas di separuh akhir.
Impian juara bertahan edisi 2024 itu berkecai apabila tunduk kepada pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dalam aksi di Hong Kong Coliseum, semalam.
Pearly-Thinaah gagal mempamerkan aksi bertenaga sejak awal dan akur tewas 14-21 pada set pembukaan selepas sering dihukum kesilapan sendiri.
Keadaan tidak banyak berubah pada set kedua apabila mereka terus bergelut untuk mempamerkan permainan sendiri sehingga memberi ruang lawan menguasai gelanggang.
“Saya rasa susunan pukulan pemain lawan kali ini menyukarkan kami hingga terpaksa mengikut rentak mereka, banyak pukulan yang menyebabkan kami perlu bertahan dan mereka ambil peluang dengan serangan agresif,” kata Thinaahkepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Gandingan China itu menutup kemenangan 21-14, 21-11 hanya dalam masa 35 minit sekali gus meranapkan misi Pearly-Thinaah untuk mempertahankan kejuaraan.
“Dari segi mental, kami tergesa-gesa terutamanya ketika mendahului, kami jadi mahu tambah mata hingga lupa corak permainan sendiri,” akui Pearly dengan nada kecewa.
Namun mereka berpeluang menebus kehampaan di Mastera China minggu hadapan apabila dijadual menentang Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias dari Indonesia di pusingan pertama.