BEREGU lelaki negara, Aaron Chia menegaskan dia tidak kisah berdepan jadual padat kejohanan kerana baginya prestasi hanya dapat dipacu menerusi “tournament feeling” dan bukannya sekadar latihan.

Pemain berusia 28 tahun itu mengakui dia dan pasangan, Soh Wooi Yik lebih selesa turun beraksi sekerap mungkin walaupun berdepan risiko kecederaan.

“Saya kena main banyak kejohanan untuk kekalkan feeling saya di gelanggang, sebab training 200 peratus pun tak sama dengan tekanan sebenar di court,” katanya, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Aaron Chia tidak kisah sertai banyak kejohanan kerana ia memberikan momentum.

Aaron menegaskan kemenangan tetap menjadi sasaran, namun fokus utama adalah memastikan dirinya sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal dalam suasana kompetitif.

Dia turut mendedahkan bersama rakan gandingannya, Wooi Yik, mereka sudah berbincang dengan jurulatih untuk memanfaatkan tempoh dua tahun ini sebelum mula memilih kejohanan bermula 20267

“Kita harap tahun ini dan tahun depan main lebih banyak untuk kutip mata dan biasakan feeling, kemudian 2027-2028 baru kurangkan kejohanan sebab kelayakan Olimpik bermula,” jelasnya.

Sebelum ini, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menyuarakan keyakinan terhadap prestasi Aaron-Wooi Yik meskipun agak menurun namun menjangkakan gandingan itu kepenatan kerana menyertai terlalu banyak kejohanan.