PENYERANG naturalisasi Kuching City, Jordan Mintah akhirnya menerima panggilan pertama ke skuad Harimau Malaya apabila namanya tersenarai dalam skuad kendalian Peter Clamovski bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada 9 Oktober ini.

Pemain berusia 30 tahun itu dinaturalisasikan pada Ogos lalu dan sejak itu sering menjadi sebutan peminat bola sepak tempatan sebagai calon penyerang baharu pasukan kebangsaan. Mintah yang sudah beraksi di Liga Malaysia sejak 2020, sebelum ini pernah menyarung jersi Terengganu FC dan KL City sebelum berhijrah ke Kuching City musim ini.

Penyenaraian Mintah dianggap sebagai langkah segar buat skuad kebangsaan yang kini berdepan kekangan pilihan pemain selepas tujuh pemain warisan digantung FIFA selama 12 bulan. Seperti dijangka, kesemua tujuh nama berkenaan tidak termasuk dalam senarai 29 pemain yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kehadiran Mintah dilihat mampu memberi pilihan tambahan di bahagian serangan, terutamanya selepas prestasi cemerlangnya bersama Kuching City di pentas Liga Super. Pengalamannya bermain lama di Malaysia juga memberi kelebihan untuk cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan.