SUDAH lama rasa teruja sebegini tidak hadir, apakah ini satu mimpi?

Pastinya bukan mimpi kerana melihat pemain badminton negara meraih gelaran dunia sentiasa diimpikan, harapan yang sama sebagaimana peminat badminton tanah air mahukan.

Kejayaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencatat sejarah sebagai pemain badminton pertama negara meraih gelaran Juara Dunia sejak kejohanan itu dianjurkan pada 1977, satu pencapaian yang amat sensasi.

Apatah lagi kejayaan dilakar mereka ini, muncul selepas prestasi kurang memberangsangkan tanpa gelaran sepanjang tahun ini, apabila lima kali tersekat di separuh akhir Terbuka Swiss, Terbuka Thailand, Indonesia Masters, Terbuka Indonesia, Terbuka Malaysia dan Malaysia Masters.

Tidak dinafikan, selepas mereka merangkul pingat gangsa di Temasya Olimpik 2020 pada tahun lalu, ramai yang menunggu pencapaian baharu daripada mana-mana pemain namun mereka berdua, yang terlebih dahulu mencapai kegemilangan.

Selepas pemain senior bersara selain beralih secara profesional serta bertukar gandingan, tidak dinafikan kelibat Aaron dan Wooi Yik berada dalam bola mata peminat badminton tanah air.

Kemenangan ke atas Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, dua game berturut-turut 21-19, 21-14, memperlihatkan reaksi Wooi Yik sejurus tamat perlawanan, seakan tidak percaya dengan gelaran bersejarah mereka perolehi.

 

Rasa teruja peminat juga pasti lebih bersemarak sebagaimana Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mengakhiri kemarau 36 tahun pingat emas Sukan Asia pada 2006.

Ironinya, gelaran Juara Dunia dimiliki Aaron-Wooi Yik dengan Juara Sukan Asia Kien Keat-Boon Heong, kedua-dua gandingan ini menewaskan pasangan Indonesia, malah mereka dibimbing Rexy Manaiky.

Di sebalik episod penghijrahan pemain ke kelab dan bergelar peman professional, terbukti kini Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih mampu melahirkan juara.

Tanpa menidakkan sumbangan kelab professional yang bercambah di negara kita, badan induk badminton negara ini dilihat tidak pasrah dengan kehilangan, malah terus berusaha menggilap dan melahirkan pemain bertaraf dunia.

Bukan mudah untuk dicapai, namun apa maknanya nama Malaysia sebagai antara kuasa besar badminton dunia tanpa menggenggam gelaran-gelaran utama dalam sukan itu.

Jika bermain permainan video, ini adalah satu lagi achievement-unlocked buat BAM dan sejarah sukan negara.

Bak kata Aaron, “we are the first world champion, we are dare to say now.”

Sebagai pemain, Aaron dan Wooi Yik pasti sudah lega mencapai sasaran yang dimahukan persatuan, namun bagi BAM, apa pula selepas ini?

Apa perancangan barisan kejurulatihan dan adakah gelaran diraih dua pemain muda ini akan terhenti di sini?

Ketika ini, selain Aaron dan Wooi Yik, satu lagi gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin paling menghampiri sebagai pencabar dunia.

Jika dilihat dengan kelahiran ramai gandingan baru dari negara lain, terutamanya Indonesia, BAM mesti melakukan perkara yang sama.

Jangan pisang berbuah dua kali. Ingatlah bagaimana getirnya Kien Keat-Boon Heong serta Datuk Lee Chong Wei berjuang sendirian mahu mengharumkan nama negara.