SETELAH sekian lama menanti, Imigresen FC akhirnya tersenyum lebar apabila berjaya mencatat kemenangan sulung Liga Super musim ini selepas menundukkan Penang FC 1-0 di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang import sensasi, Wilmar Jordan pada minit ke-59 yang bijak menyambar bola muntah selepas rembatan Fadzrul Danel ditepis penjaga gol lawan, Ramadan Hamid. Jaringan itu cukup untuk memastikan tiga mata berharga dibawa pulang oleh skuad kendalian Yusri Che Lah sekali gus menamatkan penantian panjang tanpa kemenangan musim ini.

Perlawanan berlangsung sengit sejak babak pertama dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Penyerang tuan rumah, Tchetche Kipre dan Dylan Wenzell-Halls beberapa kali menguji benteng lawan, namun ketangkasan penjaga gol Imigresen, Zarif Irfan, menafikan peluang jaringan Penang.

Namun selepas rehat, disiplin dan ketenangan pemain Imigresen akhirnya membuahkan hasil. Biarpun beraksi tanpa beberapa tonggak utama seperti Amirali Chegini dan Nik Sharif Haseefy akibat kecederaan, semangat juang pasukan tidak pernah luntur.

Ketua jurulatih, Yusri Che Lah, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas wisel penamat ditiup, menggambarkan kemenangan itu sebagai detik paling bermakna buat pasukannya musim ini.

“95 minit terasa sangat panjang. Biasanya tekanan datang bila kita ketinggalan, tapi kali ini tekanan datang bila kita cuba pertahankan kelebihan. Bila wisel penamat ditiup, rasa lega dan gembira tu jelas di wajah semua pemain,” katanya.

Beliau turut memuji aksi pemain debutan Mohd Loqman Hakim Marzuki serta pemain gantian Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim yang tampil cemerlang mengisi kekosongan dalam skuad utama.

“Kita kini ada enam mata dan tidak jauh tertinggal dengan pasukan lain. Rehat tiga minggu selepas ini penting untuk kita baiki taktikal dan tingkatkan kecergasan,” tambahnya.

Kemenangan ini melonjakkan Imigresen FC lima anak tangga ke kedudukan kelapan liga, meninggalkan beberapa pasukan seperti Sabah FC, Penang FC dan PDRM FC.