PEMAIN beregu campuran negara, Cheng Su Yin berazam menutup mulut pengkritik dengan aksi meyakinkan di Kejohanan Masters Kumamoto, Jepun, selepas pulih daripada kecederaan keretakan tulang di tapak kaki kiri.

Su Yin mengakui masih terasa kesan kecederaan retak tulang tapak kaki, namun menegaskan semangat juangnya tidak pernah luntur biarpun perlu berdepan risiko di gelanggang.

“Kecederaan itu masih ada, tapi saya akan cuba atasi… yang penting saya nak terus lawan,” katanya penuh tekad.

Jelasnya, kecederaan kali ini berbeza daripada kecederaan lama yang pernah dialaminya di Orleans dan kini fokus sepenuhnya adalah pada pemulihan dan prestasi semula di Jepun.

Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin menempuh turun naik prestasi selepas Su Yin mengalami beberapa siri kecederaan.

Rakan gandingannya, Hoo Pang Ron turut mengakui cabaran kali ini tidak mudah, terutama apabila mereka bakal menentang pasangan kuat dari Chinese Taipei.

“Mereka memang kuat, tapi kami sedang bersiap sepenuhnya untuk Kumamoto dan Australia, harap boleh buat yang terbaik,” kata Pang Ron dengan nada yakin.

Pasangan muda negara itu kini dalam misi mencari semula rentak dan momentum selepas berehat panjang daripada siri kejohanan Eropah baru-baru ini.