PEMAIN perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching mencatat pencapaian baharu apabila melanglah ke suku akhir Masters Kumamoto, Jepun, sekali gus menjadi pencapaian terbaiknya setakat ini.
Berdepan pemain berpengalaman Kanada, Michelle Li yang berada di ranking ke-15 dunia, Ling Ching tidak mempamerkan rasa gentar biarpun dia hanya berada di kedudukan ke-63 dunia apabila mencuri set pertama 21-17.
Biarpun Michelle bangkit merampas set kedua 21-16, Ling Ching kekal tenang dengan corak permainannya sambil dibantu jurulatih K Yogendran di tempat duduk jurulatih.
Dia memastikan slot suku akhir pertama Jelajah Dunia Super 500 menjadi miliknya dengan menamatkan set penentuan, 21-19 dalam pertarungan selama 62 minit.
Selepas menyingkir pilihan kelima kejohanan itu, Ling Ching bakal berdepan pilihan ketiga kejohanan, Ratchanok Intabon dari Thailand yang mengatasi jagoan Amerika Syarikat (AS), Zhang Beiwen 22-24, 21-13, 21-10.
Prestasi Ling Ching ini setidak-tidaknya menghidupkan harapan peminat untuk melihat negara memiliki pesaing wanita bertaraf dunia selepas ini.