BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mengaum di Jepun apabila muncul juara Masters Kumamoto, sekali gus melakar sejarah sebagai pasangan Malaysia pertama merangkul takhta sejak kejohanan itu diperkenalkan.
Bak mesin kebangkitan tanpa belas, pasangan nombor dua dunia itu menumbangkan gandingan tuan rumah ranking ketujuh dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, 22-20, 21-19 dalam final penuh drama selama 54 minit.
Kemenangan itu menyambung rentak emas mereka selepas menakluk Terbuka Artik di Finland bulan lalu, sekali gus melebar rekod pertemuan ke atas pasangan Jepun tersebut kepada 7-2.
Set pembukaan seakan berakhir suram apabila Pearly-Thinaah ketinggalan 0-7 dan 15-20, namun tujuh mata berturut-turut mencetus kebangkitan luar biasa untuk menang 22-20.
Di set kedua, Jepun sekali lagi memulakan serangan ganas, mendahului 8-3 dan 11-9, namun kematangan taktikal Malaysia mematikan momentum lawan sebelum menoktahkan kemenangan 21-19.
Kumamoto kini menjadi saksi gelaran Jelajah Dunia BWF ketiga mereka selepas Terbuka Thailand dan Terbuka Artik, mengukuhkan status sebagai kuasa baharu beregu wanita dunia.
Selaku ratu pentas Jepun, Pearly-Thinaah membawa pulang AS$37,525 (RM155,071), manakala Iwanaga-Nakanishi berpuas hati dengan AS$18,050 (RM74,591) selaku naib juara.